Bersikap Terbuka, Positif Atasi 'demam Terperuk' | OFFICE OF DEPUTY VICE CHANCELLOR (INDUSTRY AND COMMUNITY RELATIONS)
» NEWS » Bersikap terbuka, positif atasi 'demam terperuk'

Bersikap terbuka, positif atasi 'demam terperuk'

Larangan keluar rumah dengan mengehadkan pergerakan atau kuarantin di rumah menyebabkan fenomena ‘demam terperuk’ atau cabin fever. Namun, ia bukan masalah gangguan psikologikal kerana boleh diatasi melalui perubahan sikap, tingkah laku dan peningkatan pengetahuan baharu bersesuaian wabak COVID-19.

Demam terperuk akibat kuarantin memberi kesan berbeza kepada individu. Kuarantin memerlukan adaptasi segera, terutama bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai dan tinggal di rumah bersaiz kecil. Keluasan rumah, ruang tamu, ruang bersama keluarga, ruang makan dan bilik tidur mempengaruhi pergerakan ahli keluarga sepanjang PKP.

Di samping itu, ciri personal individu mempengaruhi tahap keceriaan sepanjang kuarantin. Individu bercirikan outdoor pastinya lebih rasa terbelenggu berbanding indoor.

Individu ekstrovert yang suka bersosial dan berinteraksi pula berasa agak tercabar berbanding introvert yang suka bersendiri, lantas menyebabkan berisiko mengalami demam terperuk.

Kesan negatif ini boleh membawa masalah emosi apabila individu cemas dan bimbang, terutama tidak mengetahui bila kawalan had bergerak ini tamat, cepat bosan, mudah marah dan tidak dapat memfokus.

Kesan boleh menjadi kronik jika kuarantin berpanjangan dan boleh melemahkan hubungan ahli keluarga, malah membawa kepada keretakan rumah tangga seperti dilaporkan akhbar tempatan China.

Namun, terperuk di rumah juga boleh membawa kesan positif seperti masa berkualiti bersama keluarga ditingkatkan melalui pelbagai aktiviti bersama. Ia berkesan menjauhi jangkitan wabak seperti disarankan kerajaan.

Jurnal The Lancet keluaran Februari lalu membincangkan impak kuarantin membabitkan mangsa SARS pada 2003, H1N1 pada 2010 dan EBOLA pada 2014. Impak negatif wujud disebabkan hilangnya kebebasan keluar rumah, lantas tidak dapat melakukan aktiviti harian, perjumpaan sosial berkurangan dan membawa kepada rasa bosan, kecewa serta terasa pengasingan daripada dunia nyata.

Oleh itu, maklumat mengenai sebab-akibat adalah penting supaya individu memahami sekatan keluar bertujuan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

Punca tekanan atau stressor natijah daripada kuarantin adalah termasuk tempoh masa kuarantin. Jangka masa lebih lama boleh membawa kepada kemerosotan tahap kesihatan mental, terutama gangguan stres pasca trauma (PTSD), meningkatkan tingkah laku mengelak atau pengasingan dan tahap rasa kemarahan.

Ini diburukkan ketakutan dijangkiti atau menjangkiti ahli keluarga, terutama sepanjang tempoh pengasingan kendiri di rumah.

Berita kes COVID-19 yang dijangkakan naik mendadak pada pertengahan April pastinya membawa kegusaran ramai pihak. Oleh itu, mesej terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan pengasingan perlu sampai kepada semua.

Pasca kuarantin juga menimbulkan stressor lain seperti isu kewangan. Tekanan ekonomi adalah serius bagi yang berkemungkinan kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan. Individu rasa bimbang dan marah kerana khuatir berapa lama mereka boleh bertahan jika status kewangan berada pada tahap rendah.

Justeru, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat lalu mampu memberi nafas lega bagi mengurangkan keresahan rakyat.

Kuarantin adalah satu dasar kesihatan awam dilaksanakan negara sebagai langkah pengawalan terhadap penularan wabak COVID-19. Strategi ini dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berdasarkan kejayaan China, Korea Selatan dan Singapura.

Kuarantin adalah fenomena sementara. Teruskan berada di rumah demi mengelak kemudaratan kepada diri, ahli keluarga dan masyarakat. Dapatkan pertolongan profesional segera apabila memerlukan.

Tuntasnya, deman terperuk kesan kuarantin boleh diminimumkan melalui pemahaman maklumat yang jelas, sentiasa terbuka dan bersikap positif dan mengamalkan modifikasi tingkah laku efektif.

Kita percaya, rakyat Malaysia boleh menangani penularan COVID-19 demi kesejahteraan dan kelangsungan kita bersama.

 

Penulis ialah Timbalan Presiden, PERKAMA International dan Profesor di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

 

Date of Input: 31/03/2020 | Updated: 08/09/2022 | wanarlindiana

MEDIA SHARING

OFFICE OF DEPUTY VICE CHANCELLOR (INDUSTRY AND COMMUNITY RELATIONS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1005
03-8941 4196
SXEUTAJ~